8 Renjer Para
Batalion Kelapan Rejimen renjer Diraja (8 Renjer) ditubuhkan pada 1 Mac 1973. Pegawai Memerintah pertama 8 Renjer adalah Leftenan Kolonel Mokhtar Ismail. Beliau diganti oleh Leftenan Kolonel Raja Abdul Rashid Raja Badiozaman pada tahun 1974. Pada 1 Julai 1990, 8 Renjer menerima taraf operasi sebagai Batalion Payung Terjun.
Pada peringkat awal penubuhannya, kebanyakan tugas 8 RRD bertumpu di Sarawak sehingga pasukan tersebut dipindahkan ke Perak pada Februari 1977. Di Perak pula, pasukan tersebut melaksanakan 48 operasi di sekitar daerah Hulu Perak, Kinta dan Kuala Kangsar. Kejayaan terbesar pasukan adalah apabila berjaya membunuh lima anggota Parti Komunis Malaya dalam satu pertempuran ketika Op Setia di hutan Keramat Pulai, Perak.
Beberapa anggota 8 Renjer dianugerahkan pingat keberanian termasuk Pegawai Waran II Kanang anak Langkau yang menerima Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa(SP). Turut menerima anugerah Pingat Panglima Gagah Berani(PGB) adalah Sarjan Michael Riman Bungat, Sarjan Beliang anak Bali. Kanang anak Langkau sendiri mendapat anugerah Panglima Gagah Berani (PGB), sekali gus menjadikannya penerima dua pingat keberanian tertinggi negara.







